![]()  | 
| Kucing yang sangat comel :) | 
Cadangan Tubuh Bank Susu Ibu Haram
Isnin, 16 Jan 2012 09:54 |       Berita Harian      |             
          Persoalan  mengenai cadangan penubuhan bank susu ibu selesai apabila Muzakarah  Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia  memutuskan penubuhannya adalah haram kerana boleh mengakibatkan  percampuran nasab dan membawa umat Islam terjebak dalam keraguan dan  perkara yang haram.
Keputusan yang diambil pada persidangan muzakarah kali ke-97 pada  hujung tahun lalu, melihat kepada keperluan penubuhannya yang tidak  berada dalam keadaan darurat sehingga mengancam keselamatan umat.
 Sebelum ini, Berita Harian pernah menyiarkan perdebatan mengenai  kewujudan komuniti, Human Milk For Human Baby (HM4HB) iaitu rangkaian  perkongsian susu ibu global yang mempunyai puluhan ribu penyokong di  laman sosial Facebook dari lebih 54 negara dan kira-kira 900 daripadanya  rakyat Malaysia.
Walaupun HM4HB bertujuan mencari ibu susuan bagi membantu bayi  pra-matang dan ibu bermasalah untuk menyusui bayi mereka kerana  menghidap pelbagai penyakit termasuk HIV, namun timbul kebimbangan umat  Islam terutama hukum hakam berkaitan ibu susuan.
 Berikutan itu, ada pihak mencadangkan ditubuhkan bank susu bagi  membolehkan keluarga yang memerlukan susu badan memperoleh bantuan  secara lebih mudah.
 Dalam kenyataan Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan yang disiarkan  menerusi portal e-fatwa Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) itu  semalam, perkara itu diputuskan selepas ahli panel muzakarah mendengar  taklimat dan penjelasan pakar serta meneliti keterangan, hujah dan  pandangan yang dikemukakan.
 "Muzakarah berpandangan bahawa menjaga keturunan, termasuk dalam lima  perkara yang wajib dipelihara dalam syariat Islam. Oleh itu, apa-apa  tindakan atau perbuatan yang boleh mendatangkan kemudaratan kepada nasab  atau keturunan perlu dielakkan.
 "Muzakarah juga berpandangan bahawa hukum penubuhan bank susu amat  berkait rapat dengan syarat pengharaman atas sebab susuan di mana bayi  yang menyusu dengan seorang wanita atau lebih akan menjadi adik beradik  susuan dan perkahwinan antara mereka adalah haram apabila memenuhi  syarat ditetapkan," katanya.
 Bagi memenuhi keperluan bayi pra-matang yang memerlukan rawatan,  manakala ibu mempunyai kekurangan susu atau mempunyai penyakit  kronik/berjangkit dan tidak dapat menyusukan bayi, muzakarah memutuskan  adalah harus bagi ibu menderma susu ibu secara sukarela kepada bayi yang  memerlukan dan keluarga bayi serta penderma perlu saling mengenali.
 Sementara itu, muzakarah berkenaan juga memutuskan amalan eutanasia  atau mercy killing, iaitu menghentikan hayat hidup seseorang sebelum  disahkan meninggal adalah haram dan dilarang Islam.
 Menurut muzakarah itu, tugas seorang doktor ialah menolong pesakit  dalam perkara kebaikan dan perbuatan membantu mempercepatkan kematian  tidak termasuk dalam perkara kebaikan tetapi perkara yang dilarang dan  berdosa.
"Bagaimanapun, dalam keadaan di mana pakar perubatan mengesahkan  jantung dan/atau otak pesakit berhenti berfungsi secara hakiki dan  pesakit disahkan tidak ada harapan untuk hidup dan hanya bergantung  kepada bantuan sokongan pernafasan, muzakarah memutuskan tindakan  memberhentikan alat bantuan sokongan pernafasan adalah dibenarkan.
 "Begitu juga, dalam kes di mana pakar perubatan mengesahkan pesakit  tiada harapan sembuh dan pesakit dibenar pulang, maka tindakan  memberhentikan rawatan utama dan hanya rawatan sokongan diteruskan  adalah dibenar Islam kerana keadaan seumpama ini tidak termasuk dalam  amalan eutanasia atau mercy killing," katanya.
 Muzakarah juga memutuskan dalam kaedah perubatan, mati otak (brain  death) adalah dianggap sebagai suatu kematian apabila disahkan pakar dan  adalah harus memberhentikan rawatan bantuan sokongan (contohnya  penggunaan mesin ventilator) dengan persetujuan waris terdekat.
Subscribe to:
Comments (Atom)


